Kata Alu-aluan Pengerusi
السلام عليكم
اهلا وسهلا ومرهبا بكم
Assalamualaikum, Ahlan Wasahlan Wamarhaban Bikum
Selamat Datang ke Portal Al-Furqan BBS Dot Com!!!
Alhamdulillah akhirnya portal ini dapat dilancarkan
dan insyaAllah akan menjadi jambatan di kalangan penduduk BBS untuk
berinteraksi di samping ia menjadi medan dakwah ke arah memertabatkan
Islam sebagai satu cara hidup kita Muslim. Portal ini diharapkan menjadi sumber
maklumat kepada penduduk BBS merangkumi permasalahan agama dan juga
mengenai masalah bersama kita. Kami mengharapkan portal ini dimanfaatkan
sepenuhnya dan pihak kami sentiasa terbuka kepada cadangan dan
pandangan bagi kebaikan kita ahli qaryah BBS. Kami juga berharap ia
menjadi penghubung kepada bukan Islam ke arah memahami Islam itu
sendiri dalam usaha kita memurnikan hubungan antara kaum dan pelbagai
agama tanpa menyentuh sensitiviti antara kita.
InsyaAllah kita akan berusaha ke arah mengemaskini maklumat untuk kepentingan kita bersama.
Saya bagi pihak AJK Surau al-Furqan Bandar Baru Selayang mengalu-alukan
anda semua melayari dan berinteraksi di portal kami ini yang menyediakan blog Surau, blog Helwa dan weblog Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Integrasi Al-Furqan. Gunakanlah Portal/WeBlog ini
sebagai pusat sumber maklumat ilmu terutamanya ilmu Islam dan ruang
untuk merapatkan silaturrahim di kalangan warga maya amnya dan warga
BBS khususnya.
Seperkara yang ingin saya paparkan mengenai kita
Muslim ialah bagaimana kita ingin meraih kasih Allah dan sayang manusia
pada masa yang sama. Agak sulit juga untuk kita mendapatkan formula
atau kaedah 2 dalam 1 yang boleh membuatkan Allah kasihkan kita dan
pada masa yang sama manusia sayangkan kita. Kebiasaannya jika Allah
kasihkan kita dan pada masa yang sama manusia membencinya dan begitulah
sebaliknya.
Seorang manusia yang inginkan kepopularan di
kalangan orang banyak kadangkala lebih banyak tunduk kepada kemahuan
dan desakan orang ramai sedangkan kehendak dan desakan orang ramai
tidak semestinya betul atau berasaskan kebenaran. Apatahlagi dalam
suasana kejahilan masyarakat, kebenaran hanya diperjuangkan oleh
segolongan kecil, malah mereka kadangkala dilabelkan sebagai ekstrim,
ketinggalan zaman dan sebagainya. Inilah yang telah digambarkan oleh
Allah dalam surah al-An’am ayat 116,
وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللّهِ
َ
“Dan sekiranya kamu taat kepada kemahuan kebanyakan manusia, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.”
Walau bagaimanapun Islam telah mengemukakan satu
formula sebagaimana yang diajar oleh Nabi s.a.w. kepada Sahl bin Saad
yang bertanya kepada Baginda, “Ya Rasulallah! Ajarkan kepadaku satu
amalan yang sekiranya aku lakukan menyebabkan Allah SWT sayang padaku
dan manusia juga sayang kepadaku.” Lalu Rasulullah bersabda, “Hendaklah
kamu zahid terhadap dunia nescaya Allah sayang padamu, dan hendaklah
juga kamu zahid akan kekayaan dunia yang ada di tangan orang lain
nescaya orang akan sayang padamu.” (Hadith Riwayat Tirmizi). Zuhud di
sini bukannnya meninggalkan dunia kerana dengan meninggalkan dunia ia
akan bertentangan dengan matlamat manusia dijadikan untuk menjadi
khalifah di muka bumi iaitu menegakkan agama dan memerintah dunia
dengan agama. Dalam surah al-Anbiya’ ayat 105, Allah berfirman,
أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ
“Sesungguhnya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.”
Di samping itu dengan kita zuhud dengan harta di
tangan orang lain, kita akan mengelak daripada mengambil harta orang
atas sifat tamak yang akan menyebabkan kebencian dan persengkitaan dan
juga peperangan. Hanya dengan sifat yang mulia ini, masyarakat akan
damai dan sejahtera dan kita akan disayangi. Inilah formula penyelesai
kepada masalah manusia hari ini. Renung-renungkanlah. Wallahu a’lam.
Dari Meja Pengerusi
(Ustaz Yaakob Mat Ali)
Surau Al-Furqan Bandar Baru Selayang
Email: alfurqanbbs@gmail.com atau surau@alfurqanbbs.com |